Oleh Norasikin Daineh, Erdie Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my
hmkk@hmetro.com.my
LINCAH...ketua pasukan QPR, Ji Sung cuba melepasi kawalan pemain Pilihan Sabah pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Pada perlawanan menarik dan menghiburkan itu, aksi bekas pemain Manchester United, Park Ji Sung yang mengetuai QPR pada babak pertama, turut mencuri tumpuan peminat bola sepak yang hadir hampir 20,000 orang.
Perlawanan babak pertama agak hambar apabila QPR mula mengasak kubu kental Pilihan Sabah sebaik wisel permulaan ditiupkan.
QPR mendapat peluang pertama apabila Andy Johnson melakukan percubaan dari dalam kotak penalti namun berjaya ditepis penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada minit kelima.
Asakan QPR berhasil apabila Bobby Zamora merembat masuk bola pada minit kelapan selepas tandukan Anton Ferdinand terlepas daripada dakapan penjaga gol Sabah, Irwan.
QPR sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pemain sayap kiri, Shaun Wright-Phillips berjaya melepasi pertahanan Sabah untuk aksi satu lawan satu bersama Irwan namun gagal menghasilkan gol pada minit ke-16.
Beberapa percubaan pemain import skuad Pilihan Sabah pada aksi babak pertama, Octavianus Maniani dan Titus John Londow Bonai berjaya dihalang dan ditampan penjaga gol QPR, Brian Murphy.
Aksi babak kedua lebih tersusun selepas QPR berpeluang mendapat jaringan kedua apabila Djibril Cisse menanduk bola ke gawang Pilihan Sabah namun berjaya dihalang oleh Irwan dan melewati palang Sabah yang berpunca hasil hantaran lintang Fabio Da Silva pada minit ke-48.
Enam minit kemudian, Pilihan Sabah sekali dikecewakan dengan gol ketiga QPR selepas Jamie Mackie merembat masuk dari dalam kotak penalti pada minit ke-69.
Pilihan Sabah sekali lagi kecewa apabila gol keempat QPR menyusul hasil tendangan lambung Cisse pada minit ke-73 melepasi jangkauan penjaga gol gantian Pilihan Sabah, Endry S Tipay.
QPR meneruskan aksi menarik dan menghiburkan apabila berjaya menjinakkan Endry untuk gol kelima hasil jaringan Cisse pada minit ke-81 yang menerima lorongan Fabio.
Pada perlawanan itu, Cisse diumumkan sebagai pemain terbaik QPR dan Octavianus sebagai pemain terbaik Pilihan Sabah yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Pengurusan QPR, Tan Sri Tony Fernandes.
0 comments: