Sunday 24 June 2012

Saya tak mahu paksa diri - Anuar Zain


Anuar hadir dengan buah tangan barunya yang telah berada di pasaran sejak September tahun lalu.
BUKAN mahu mencari kesalahan. Tetapi harus diakui, sebelum ini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sedetik Lebih ini sebenarnya cukup susah untuk menerima pelawaan sesi fotografi atau temu bual secara eksklusif atau apa sahaja yang memerlukan dirinya melibatkan diri.
Perkara ini dirasai oleh sesetengah pihak media yang rata-ratanya merungut mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku.
Pendek kata, semacam ada angin tersendiri untuk Anuar Zain, 42, memberikan kata setuju.
Namun, itu bukanlah satu perkara yang aneh kerana di dalam dunia hiburan tanah air, Anuar adalah penyanyi berprofil tinggi yang begitu disegani.
Rentetan itu, Anuar pantas dilabel sebagai artis bertaraf diva. Persoalannya, benarkah Anuar bersikap begitu?
Dalam tenang, ini jawapan yang diberikan Anuar.
"Saya tak rasa saya diva. Malaysia adalah negara saya, dunia hiburan adalah rumah saya, jadi saya akan buat apa yang saya suka.
"Memang kadang-kadang ada pelawaan yang terpaksa saya tolak. Tapi harus difahami, ia bukan kerana saya ni diva.
"Tapi saya fikir, kalau saya terima juga pelawaan itu, sedangkan hati saya tidak senang ketika itu, untuk apa saya terima?
"Kalau terima, saya mungkin akan jadi plastik dan nampak tak jujur untuk berdepan dengan orang. Sudahnya, hasil kerja yang diberikan akan jadi tak bagus.
"Jadi kalau tak boleh, memang saya akan cakap tak boleh, "katanya.
Tambah Anuar lagi, dia juga tidak mahu memaksa diri untuk melakukan perkara yang tidak disenanginya kerana bimbang orang akan bercakap di kemudian hari.
"Tanya pada sesiapa pun, kalau kita buat sesuatu perkara yang kita tak suka atau tak selesa, kita mesti tak boleh berikan 100 peratus hasil terbaik bukan?
"Nanti akan memberi kesan pada jiwa. Ibarat kita pergi kerja dengan mengheret satu kaki saja, sedangkan yang sebelah lagi keberatan untuk melangkah. Kalau boleh saya mahu buat kerja dalam keadaan yang senang dan boleh menggembirakan semua orang.
"Tak mengapalah kalau ada yang kata saya sombong atau diva, terserahlah pada mereka, " jelas Anuar.
Puji pengurusan baruMengaku agak lewat membuat majlis pra-dengar album terbarunya yang berjudul Anuar Zain, jelas penyanyi ini, semua itu berlaku kerana ada pertukaran pengurusan.
"Album ini dah dipasarkan sejak September tahun lepas. Tapi saya ambil masa sikit sebab sedang menubuhkan pengurusan baru untuk bekerja dengan saya.
"Alhamdulillah, pengurusan baru sekarang saya perhatikan telah banyak membantu karier saya. Mereka umpama memudahkan hidup saya.
"Saya lihat pengurusan baru ini lebih berdikari dan mereka tahu apa yang saya mahu dan perlukan. Pendek kata, saya tak perlu nak beri arahan tertentu kerana mereka sudah tahu apa yang patut mereka lakukan.
"Saya rasa beruntung kerana mereka sebenarnya terdiri daripada orang yang dah lama dalam industri muzik. Setakat ini, saya berani katakan, yang semuanya berjalan dengan lancar, " katanya.
Sungguhpun begitu, kata Anuar, dia percaya, hasil kerja yang baik datangnya daripada kerjasama penuh daripada semua pihak.
Bercerita mengenai album, antara lagu yang mampu membuai jiwa anda termasuk Ku Berjanji Karna Cinta, Cinta Harus Memiliki dan Ajari Aku.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: