Sunday 24 June 2012

Aksi panas Bront Palare


RAMAI yang berdebar tatkala melihat satu persatu adegan panas Bront Palare di atas katil dalam filem terbaru lakonannya, Jiwa Taiko. Bukan tidak biasa melihat adegan sebegini dalam mana-mana filem tetapi untuk pelakon ini adegan bersama pelakon Nadiya Nisaa memang memberikan impak yang cukup besar.
Semakin ramai yang datang menonton semakin banyak persoalan yang mereka bangkitkan. Bukan apa, kerana Bront memang terkenal sebagai pelakon hebat yang tidak pernah melakonkan babak begini.
Bertemu dengan pelakon ini baru-baru ini, dia mendedahkan segala-galanya. Segala yang terbuku di hati peminat segera dijawab agar apa sahaja yang menimbulkan keraguan dapat dileraikan.
"Memang pada awalnya saya sudah mengetahui tentang perkara itu. Osman Ali sudah beritahu awal-awal lagi yang saya kena melakonkan adegan panas seperti mana yang semua lihat di panggung.
"Kalau ada di antara adegan dalam filem itu menyinggung mana-mana hati peminat, saya mohon maaf. Tidak ada niat lain yang membuatkan saya berani sebegitu sekali tetapi sekadar mencuba sesuatu yang baru.
"Rasanya cukuplah sekali saya berani buat macam ni. Kalau pada masa hadapan masih ada lagi tawaran macam ni, memang saya tolak," kata pelakon yang cukup terkenal dengan filem Anak Halal ini lagi.
Pada dasarnya, Bront tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada mana-mana pengarah. Apa yang dilakukan olehnya hanyalah permulaan untuk satu kanvas baru yang bakal menentukan ke mana arahnya selepas itu.
"Orang mungkin ingat kami benar-benar intim melakukan adegan berkenaan. Tapi sebenarnya ia dibantu oleh tenaga kerja yang lain termasuklah beberapa teknik yang digunakan untuk menampakkan ia benar-benar berlaku," jelasnya lagi.
Bercerita mengenai industri perfileman pula, Bront lebih gembira dengan dasar yang telah ditetapkan oleh Finas yang mahu menayangkan satu filem baru setiap minggu sebagai satu alternatif mengurangkan lambakan filem baru.
Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan dasar baru berbanding dua minggu untuk syarat wajib tayang sebelum ini, bagi Bront ia perlu dipandang dari sudut positif terutama bagi mereka yang bekerja di belakang tabir.
"Memang ada yang kurang senang dengan perkara itu. Saya melihat ia akan mendatangkan pekerjaan kepada orang-orang belakang tabir dan secara tidak langsung ia memperlihatkan industri kita yang semakin berkembang pesat.
"Kita juga dapat tengok kesungguhan pembikin filem dalam menghasilkan karya-karya yang baik kerana mereka perlu bersaing dengan orang lain. Lantas, ini akan menimbulkan titik perbandingan dan peminat boleh menilai sendiri mana filem bermutu dan mana filem yang tidak bermutu.
"Seharusnya tidak timbul isu filem yang tidak berkualiti memandangkan kita ada segala-galanya. Kalau aspek teknikal yang menjadi kekangan, saya rasa industri filem kita tidak seperti dulu lagi. Apa yang paling penting tenaga kreatif perlu pushing the limits untuk memberi yang terbaik dalam karya mereka," kata Bront.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: