Wednesday 20 June 2012

Drogba milik Shenhua


SHANGHAI: Didier Drogba menamatkan spekulasi masa depannya dengan menyertai Shanghai Shenhua, kelab yang berbelanja besar tapi berhempas-pulas untuk menyerlah di Liga Super China, semalam.
Drogba mula dikaitkan dengan perpindahan ke Asia Timur apabila mengumumkan hasrat meninggalkan Chelsea, bulan lalu selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti ketika menjulang kelab dari London itu menjuarai Liga Juara-Juara dengan menewaskan Bayern Munich.

Pemain berusia 34 tahun itu yang akan menyertai rakan sepasukan barunya bulan depan, menaruh harapan tinggi untuk memberi impak segera dalam usaha kelab terbabit memperbaiki kedudukan liga yang kini berada di tempat ke-12 daripada 16 pasukan, biarpun mereka berbelanja besar.
Butiran kewangan mengenai kontrak dua tahun setengah itu tidak didedahkan Drogba mahupun kelab berkenaan, namun media tempatan melaporkan bintang Ivory Coast itu menerima sekitar AS$300,000 (RM948,561) seminggu.

“Saya sudah kaji semua tawaran sejak beberapa minggu lalu dan saya rasakan, Shanghai destinasi terbaik saya masa ini,” kata Drogba dalam laman webnya (www.didierdrogba.com).

“Saya tidak sabar-sabar menanti cabaran baru, mempelajari budaya baru dan amat bersemangat untuk membantu pembangunan bola sepak dalam Liga China.” Penghijrahan itu dianggap satu lagi kejutan besar yang berlaku di Liga Super China itu dan Drogba akan menyertai bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Nicolas Anelka di barisan depan bagi memperkuatkan jentera serangan Shanghai yang kini dilatih bekas pengurus Argentina, Sergio Batista.

Drogba menjaringkan 157 gol menerusi 341 penampilan bersama Chelsea sejak berpindah dari Marseille pada 2004 bagi menjadikannya penjaring keempat terbanyak kelab itu, manakala 34 gol yang dijaringkan di peringkat Eropah adalah satu rekod bagi kelab London itu. - Reuters
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: