Monday 25 June 2012

England - Sumpahan penalti


ASHLEY Young (kanan) ditenteramkan rakan sepasukan setelah England tersingkir pada suku akhir Euro 2012 menerusi penalti kepada Itali di Kiev, semalam. - REUTERS
KIEV, Ukraine - England sekali lagi ditimpa sumpahan penalti apabila tersingkir pada suku akhir Euro 2012 menerusi penentuan penalti 2-4 kepada Itali selepas perlawanan masa tambahan berkesudahan seri tanpa jaringan, semalam.
Ini adalah kali ketujuh Three Lions disingkirkan dengan cara yang kejam dalam kejohanan utama.
Nasib serupa melanda England pada Piala Dunia 1990 (separuh akhir), Euro 1996 (separuh akhir), Piala Dunia 1998 (pusingan kedua), Euro 2000 (peringkat kumpulan), Euro 2004 (suku akhir) dan Piala Dunia 2006 (suku akhir).
Semalam, skuad Roy Hodgson ditunjukkan jalan keluar selepas Ashley Young dan Ashley Cole gagal menyempurnakan sepakan.
Itali tidak bernasib baik kerana gagal memenangi perlawanan dalam tempoh 120 minit permainan, berdasarkan puluhan percubaan ke kubu England selepas dominasi perlawanan.
Ketika statistik menunjukkan England hanya melancarkan sembilan serangan, skuad Azzurri gah dengan 35 percubaan dan dominasi 64 peratus perlawanan.
Hodgson mengakui pasukannya perlu menerima hakikat mereka tidak cukup bagus untuk menang dalam 120 minit perlawanan.
"Semua pemain (yang melakukan sepakan semalam) amat bagus ketika latihan penalti, namun ia gagal diterjemahkan ketika perlawanan, mereka gementar, tertekan.
"Kami mempunyai lima pemain yang hebat untuk sepakan penalti, namun malang dua daripada mereka gagal menyempurnakannya.
"Saya melihat Cole menjaringkan penalti pada final Liga Juara-Juara untuk Chelsea dan Young juga menjaringkan penalti untuk kelabnya.
"Kami telah mencuba yang terbaik untuk menang.
"Namun sekali lagi England tersingkir dengan cara yang sama (penentuan penalti)," katanya.
Meskipun tersingkir, Hodgson tetap berbangga dengan pemain malah menganggap pengalaman pertama membawa England beraksi di kejohanan utama memberi kepuasan.
Hodgson, yang mengundang kritikan di awal pemilihannya kerana ramai yang mempertikaikan mengapa jurulatih veteran itu dipilih menggantikan Fabio Capello, bukan Harry Redknapp, menegaskan dia tiba di Ukraine dengan keyakinan England boleh melangkah jauh.
"Pemain sudah memberikan semua yang mereka termampu. Ketua pasukan, Steven Gerrard juga amat kecewa dengan kekalahan ini.
"Benteng pertahanan melakukan tugas dengan amat baik, kami telah melakukan yang cukup untuk membanggakan negara tetapi kami pulang dengan hati yang remuk dan itu memang menyukarkan,'' tambah Hod- gson. - AFP
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: