Bayar Zakat, Jangan Buat-buat Lupa...
Zakat ohhh zakat, siapa tak bayar zakat lagi baik bayar sekarang, puasa sudah banyak hari dah.. zakat jangan lupa,itu kewajipan bagi yang mampu... Anda tahu zakat adalah rukun islam ke 4, jadi tunaikan zakat sebelum fajar di pagi syawal menjemal...
LUPA BAYAR ZAKAT FITRAH
SOALAN:
Apakah hukumnya jika seseorang itu terlupa membayar zakat fitrah? Adakah boleh diganti?
Jawapan :
a. Batas Waktu Akhir Zakat Fitrah
Terlebih dahulu perlulah difahami tentang batas waktu (tempoh) akhir untuk membayar zakat fitrah, sehinggalah menjadi jelas bahawa orang yang lupa untuk membayar zakat fitrah bererti bahawa dia terlupa untuk membayarnya sehingga tempoh akhir pembayaran itu berakhir.
Batas waktu terakhir (nihayatu waqtin) mengeluarkan zakat fitrah menurut kami adalah ketika solat Aidilfitri, dan bukan setelah tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri. Barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri, zakatnya masih diterima. Sedangkan barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah setelah solat Aidilfitri, maka itu hanya dianggap sedekah dan tidak dianggap sebagai zakat fitrah. (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami' Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 319; Ibnu Hazm, Al-Muhalla, Juz 2, hal. 339, mas`alah no. 718).
Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, bahawabahawasanya :
"Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan perkataan kotor dan juga sebagai makanan untuk orang-orang miskin.Barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu sebelum solat [Aidilfitri] maka itu zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu setelah solat [Aidilfitri] maka itu satu saqadah dari sadaqah-shadaqah." [HR Abu Dawud, no 1609; Ibnu Majah, Ad-Daruquthni, dan Al-Baihaqi. Juga diriwayatkan dan disahihkan oleh Al-Hakim(1/409), dan dipersetujui oleh Adz-Dzahabi]. (Lihat Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami' Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317; Imam Ash-Shan'ani, Subulus Salam, 2/139).
Berdasarkan dalil di atas, jelaslah bahawa batas waktu pembayaran zakat fitrah adalah ketika pelaksanaan solat Aidilfitri. Barangsiapa yang belum membayar zakat fitrah tanpa uzur sehingga masuk waktu solat Aidilfitri, dia berdosa dan kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripada orang itu. Zakat fitrah tersebut akan menjadi hutang yang tetap wajib dibayarnya sesudah itu. Dengan kata lain, orang tersebut wajib qadha` zakat fitrahnya walau pun telah lewat daripada waktu yang ditentukan.
Pendapat yang kami anggap kuat (rajih) dalam hal batas akhir zakat fitrah ini memang berbeza dengan pendapat jumhur (Malikiyah, Hanabilah, Syafi'iyah), iaitu batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari raya Aidilfitri. Menurut jumhur, zakat fitrah tetap sah walaupun dibayar sesudah solat Aidilfitri sehingga datangnya waktu maghrib pada hari Aidilfitri atau pada tanggal 1 Syawal. Hanya saja, ulama Hanabilah dan Syafi'iyah memandang makruh mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat Aidilfitri. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/906-908; Abdurrahman Al-Jaziri, Al-Fiqh' Ala Al-Madzahib Al-Arba'ah, 1/425; Muhammad bin Abdurrahman Ad-Dimasyqi, Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A`immah, hal. 62).
Namun pendapat jumhur ini tidak dapat diterima, kerana dalilnya lemah. Dalil ulama jumhur adalah berdasarkan hadis riwayat Ibnu Umar bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda :
"Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari meminta-minta pada hari ini [Aidilfitri]." [HR Ad Daruquthni, 2/153, Al-Baihaqi, 4/175]. (Lihat Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908; Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami' Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317).
Menurut Syaikh Nashiruddin Al-Albani hadis tersebut lemah (dhaif), kerana dalam sanad hadis tersebut ada perawi yang lemah, iaitu perawi bernama Abu Ma'syar (dalam riwayat Ad-Daruquthni dan Al-Baihaqi) dan Muhammad bin Umar al-Waqidi (dalam riwayat Ibnu Sa'ad dalam Thabaqah-nya). (Nashiruddin Al-Albani Mukhtashar Irwa` Al-Ghalil, 1/62, hadis no 844; Irwa' Al-Ghalil, 3/332, hadis no 844). Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menegaskan kedhaifan isnad hadis Ibnu Umar dalam riwayat Ad-Daruquthni, kerana ada perawi bernama Muhammad bin Umar Al-Waqidi. (Imam Ash-Shan'ani, Subulus Salam, 2/138). Dalam kitab Al-Majmu' (6/126), Imam An-Nawawi juga telah menjelaskan kedhaifan hadis di atas dengan berkata :
Adapun hadis "Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari meminta-minta pada hari ini", ia diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan isnad dhaif." (Imam An-Nawawi, Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab, 6/126).
Dengan demikian, jelaslah bahawa hadis di atas adalah dhaif sehingga tidak layak menjadi hujah (dasar hukum) bagi jumhur ulama bahawa batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri. Yang benar, batas akhir zakat fitrah adalah solat Aidilfitri, bukan tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri.
Jadi, dapat diketahui bahawa lupa membayar zakat fitrah bererti lupa untuk membayarnya sehingga melampauinya batas akhir zakat fitrah, iaitu ketika solat Aidilfitri, dan bukanlah sehingga tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri atau datangnya waktu maghrib pada hari Aidilfitri.
b. Wajib Mengqadha` Zakat Fitrah Bagi Orang Yang Lupa
Orang yang lupa untuk melaksanakan zakat fitrah tidak berdosa, kerana “lupa” (an-nisyan) merupakan salah satu uzur syarie yang menggugurkan dosa. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam:
"Sesungguhnya Allah telah memaafkan dari umatku [dosa kerana] tersalah (tidak sengaja), lupa, dan apa-apa yang dipaksakan atas mereka." [HR Ibnu Majah, no 2033; Ibnu Hibban, no 7342; Ath-Thabrani, dalam Al-Mu'jam Al-Kabir, no 1414]
Namun kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur daripada orang yang lupa untuk membayarnya dan dia tetap wajib untuk qadha` zakat fitrah itu (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908). Kewajipan untuk qadha` zakat fitrah itu didasarkan pada kaedah fikih berikut sebagaimana yang dikemukakan oleh Imam Ash-Shan'ani :
"Orang yang tidak tahu hukum, atau orang yang lupa, hukumnya dalam meninggalkan [kewajipan] sama dengan orang yang sengaja." (Lihat Imam Ash-Shan'ani, Subulus Salam, 1/55).
Kaedah di atas mengandung pengertian bahawa dalam hal meninggalkan suatu kewajiban (tarkul wajib), orang yang lupa atau tidak tahu hukum, sama hukumnya dengan orang yang sengaja meninggalkan kewajipan itu. Sama hukumnya di sini bermaksud adalah sama dalam hal tidak gugurnya suatu kewajipan yang ditinggalkan. Maka, suatu kewajipan tidaklah gugur, baik bagi orang yang lupa mengerjakannya, atau yang tidak tahu hukum, atau yang sengaja meninggalkannya.
Oleh itu, orang yang lupa membyar zakat fitrah, wajib untuk qadha` zakat fitrahnya, iaitu kewajipannya tidak gugur dan tetap wajib membayarnya walau sudah lewat daripada waktu yang ditentukan. Demikian pula orang yang lupa membayar hutang, atau lupa memberi nafkah kepada isteri-anak, atau lupa membayar gaji pegawainya, tetap diwajibkan membayar kewajipan-kewajipan itu. Demikian pula orang yang lupa membasuh kaki ketika wudhu’ dan hanya ingat setelah selesai solatnya, maka dia tetap wajib mengulangi wudhu’ dan solatnya. Perempuan yang lupa menutup rambutnya secara sempurna sehingga tidak tertutup sempurna, dan hanya sedar setelah selesai solat juga wajib menutup rambutnya secara sempurna dan mengulangi solatnya. Demikian seterusnya dalam hal-hal lain.
Kaedah fikih yang membawa makna yang sama dengan kaedah di atas dikemukakan pula oleh Imam Izzuddin bin Abdis Salam sebagai berikut :
"Barangsiapa lupa akan sesuatu yang diperintahkan, tidaklah gugur perintah itu kerana dia lupa jika masih memungkinkan untuk dapat dikerjakan secara susulan." (Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa'idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3, Beirut : Darul Kutub Al-Ilmiyah, 1999).
Imam Izzudin bin Abdis Salam menerangkan bahawa sesuatu yang diperintahkan (kewajipan/kesunnahan) yang ditinggalkan kerana lupa itu ada dua macam. Pertama, yang tidak dapat disusul (laa yaqbal at-tadaaruk), seperti jihad, sholat Jumaat, sholat gerhana, solat rawatib, dan solat jenazah. Kewajipan atau kesunnahan jenis pertama ini, gugur dengan berakhirnya waktu. Kedua, yang dapat disusul (yaqbal at-tadaaruk), seperti solat, zakat, puasa, nazar, hutang, kaffarah, dan nafkah kepada isteri. Kewajipan jenis kedua ini tidak gugur dengan berlalunya waktu. (Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa'idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3).
Berdasarkan kaedah fikih di atas, orang yang lupa untuk membayar zakat fitrah tetap wajib membayar zakatnya walaupun sudah melewati batas akhir yang ditentukan.
Kesimpulan
Orang yang lupa membayar zakat fitrah, tidak berdosa namun wajib untuk qadha` zakatnya itu. Dengan kata lain, kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur darinya dan tetap wajib dibayarkan walaupun sudah melewati batas waktu akhir yang ditentukan (iaitu solat Aidilfitri). Wallahu a'lam. [ ]
sumber: http://fikratulummah.blogspot.com
0 comments: