Wednesday 19 October 2011

Direnjis-renjis: Teknik solekan air brush lebih kemas, tanah lama

Direnjis-renjis: Teknik solekan air brush lebih kemas, tanah lama

copy by Oleh Halina Mohd Noor

Kaedah dari New York diamalkan juruandam elak kulit berminyak, kering catatkan penampilan wajah pengantin MASALAH utama yang sering menghantui pengantin wanita adalah apabila solekan mudah menjadi cair akibat berpeluh atau terlalu kering sehingga solekan tebal kelihatan retak yang menimbulkan garis halus pada bahagian seperti hujung mata. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan solekan kurang menarik sedangkan matlamat sebenar adalah untuk mendapatkan solekan yang cantik, tetapi kelihatan semula jadi.
Mengatasi masalah ini, satu lagi teknologi baru solekan diperkenalkan iaitu teknik ‘air brush’. Ia adalah revolusi baru solekan yang diperkenalkan Temtu, New York untuk golongan profesional dalam bidang kecantikan dan industri kosmetik. Berbeza dengan solekan biasa, teknik air brush melalui kaedah semburan dengan menggunakan sejenis mesin khas atau kompressor. Setiap kosmetik seperti bedak asas, pemerah pipi, pembayang mata dan gincu disapu menggunakan semburan ini, menjadikan solekan lebih kemas dan tahan lama.
Teknik solekan ini cukup popular digunakan untuk majlis istimewa seperti perkahwinan selain turut digunakan di kalangan pelakon filem, iklan komersial televisyen, sitkom, teater, sesi foto atau pertunjukan fesyen. Teknologi yang sudah 27 tahun diguna pakai di New York ini membawa selangkah lagi dalam seni solekan yang menjadikan impian untuk kecantikan semula jadi menjadi kenyataan.
Di sini, teknik air brush diperkenalkan Pengarah Urusan Neew Cosmetics, Raja Azewin Raja Wahid yang menawarkan khidmat solekan untuk pengantin selain solekan untuk acara lain sejak dua tahun lalu. Raja Azewin yang ditemui di Pameran Perkahwinan Mid Valley 2008, berkata teknik ini bersesuaian digunakan untuk pengantin kerana ia lebih tahan lama sehingga 12 jam berbanding solekan biasa.
“Lazimnya pengantin mula disolek lebih awal sejam atau dua jam sebelum bersanding. Sementara menunggu waktu bersanding, solekan boleh menjadi cair akibat berpeluh. Jika terlalu tebal pula, ia mudah kering dan menyebabkan rasa tidak selesa kerana terasa berat. Berbeza dengan teknik air brush, solekan ini bukan saja membuatkan pengantin kelihatan cantik secara semula jadi dan tahan lama kerana ia tidak mudah cair akibat berpeluh,” katanya.
Beliau berkata, air brush memberikan kesan solekan lebih kemas dan menutupi noda pada wajah sama ada seperti jerawat atau bintik hitam dengan hanya menggunakan semburan tipis. Ia kelihatan lebih semula jadi, ringan dan rata serta membuatkan pengantin lebih selesa.
“Kebanyakan kosmetik kecuali penggaris mata dan maskara, semuanya didatangkan dalam bentuk cecair yang mengandungi oksigen. Kandungan oksigen ini baik untuk kulit kerana ia membantu kulit bernafas dengan lebih baik. Hasilnya, ia mampu mengelakkan liang pori daripada tersumbat atau kulit menjadi kering.
“Walaupun didatangkan dalam bentuk cecair, solekannya tidak membuatkan wajah kelihatan berminyak. Ia juga mudah disapukan iaitu hanya dalam tempoh setengah jam berbanding solekan biasa,” katanya.
Bedak asas didatangkan dalam 12 tona pilihan mengikut warna kulit seperti porcelain ivory, peachy beige, gold tan, warm cocoa, true ebony dan natural beige. Berasaskan formula silikon, ia memberikan kesan kilauan wajah lebih sihat dan segar pada setiap jenis kulit. Bedak asas yang ringan dan menghasilkan kesan sekata ini hanya perlu digunakan beberapa titik bagi mendapatkan kesan diinginkan. Ia juga boleh disapu dengan menggunakan span, berus atau hujung jari.
Warna terang boleh dipilih untuk pembayang mata seperti merah, kuning, hijau, biru, ungu, merah jambu, hitam dan putih yang mudah dipadan dengan warna konsep perkahwinan anda, manakala pemerah pipi lebih semula jadi digunakan seperti natural mocha, warm cocoa, dark cocoa dan true ebony. Tona seperti pink pearl, true gold dan copper bronze digunakan untuk ‘highlighters’.
“Menggunakan kompressor khas yang kecil dan mudah dibawa ke mana saja, ia dilengkapi dengan boleh ubah tekanan udara yang sempurna untuk solekan. Bahan kosmetik seperti bedak asas dimasukkan ke dalam alat penyembur yang dikenali sebagai ‘air gun’ sebanyak dua atau tiga titik sebelum disembur ke wajah. Selain terjamin dari segi kebersihan kerana ia tidak menggunakan berus atau span, mesin ini juga mudah dibersihkan dengan hanya menggunakan air,” katanya.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: