KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon Amir (Raja Lawak) tidak pernah berasa
segan dengan kehidupan sederhana yang dilaluinya kerana menyedari
kedudukannya sebagai artis baru yang belum
stabil dalam industri
hiburan.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 23, berkata dia tidak
perlu bersikap hipokrit atau menyembunyikan taraf kehidupannya yang
sebenarnya hanya kerana dia seorang selebriti.
“Saya selesa dengan taraf kehidupan pada hari ini. Selepas tiga tahun
bergelar artis banyak perubahan yang dapat saya berikan kepada keluarga
di kampung (Kelantan).
“Kini, saya sudah mampu memiliki motosikal sendiri hasil duit lakonan
dan tidak malu untuk mengakuinya. Walaupun tidak mewah tetapi saya
bersyukur dengan rezeki yang ada,” katanya ketika ditemui mStar Online,
baru-baru ini.
Bekas pemenang tempat ketiga program Raja Lawak musim ketiga itu
berkata, dia bersyukur dengan perkembangan positif terhadap populariti
dirinya kebelakangan ini.
“Pembabitan saya sebagai pengulas program Super Spontan memberikan impak
positif pada populariti, di mana orang ramai mula memberikan perhatian
dan reaksi terhadap saya di laman-laman sosial.
“Alhamdulillah, saya semakin dikenali dan diterima ramai berbanding
ketika awal pembabitan dulu. Ini adalah rezeki saya, kalau tidak gah
mana pun asalkan tawaran kerja konsisten, ia sudah satu rahmat bagi,”
katanya.
Mengenai perkembangan terbaru, Amir berkata selepas Super Spontan
melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu, dia akan muncul pula dalam program
bual bicara bersama Johan (Raja Lawak) iaitu Acaner Tu Johan tidak lama
lagi.
“Saya sedang terlibat dengan penggambaran drama sebanyak 13 episod iaitu
Inspektor Ku Sayang di Kota Bharu, Kelantan.
“Selepas ini, saya akan muncul sebagai pengacara sampingan (sidekick)
kepada Johan untuk program bual bicaranya berjudul Acaner Tu Johan
sebanyak 13 episod di Astro Warna,” katanya.
Pemuda yang terkenal dengan istilah I'm sorry ini bakal muncul dalam
beberapa filem termasuk Hantu Air, Hantu Bukit Cina dan Sebelum Subuh
pada tahun depan.
- MStar
0 comments: