Wednesday 20 June 2012

Pendekatan maqasid hurai permasalahan baru


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2012/06/21

MUFTI terbabit dalam persidangan untuk memutuskan sesuatu fatwa baru.
MUFTI terbabit dalam persidangan untuk memutuskan sesuatu fatwa baru.
Pihak menghasilkan hukum perlu penyelidikan mendalam, rujuk pelbagai disiplin ilmu

FATWA berkaitan isu semasa membabitkan persoalan baru sukar dihasilkan jika sekadar berasaskan kitab fiqh klasik saja kerana untuk menghasilkan hukum yang mencapai objektif memerlukan penyelidikan mendalam serta merujuk banyak disiplin ilmu.
Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata pendekatan maqasid boleh menjadi alternatif sesuai bagi mengatasi masalah fatwa supaya maju setanding keperluan hidup masyarakat sekarang.
Fatwa perlu melihat sesuatu isu itu secara keseluruhan kerana matlamat utamanya adalah menjaga kemaslahatan ummah. Oleh itu banyak faktor perlu diberi perhatian, bukan sekadar melihat daripada pendekatan formal atau rupa bentuk. - Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Katanya, maqasid membantu pihak yang mengeluarkan hukum menentukan hukum berdasarkan objektif yang hendak dicapai syariah Islam iaitu menjamin kepentingan serta kebaikan hidup manusia dan menghindarkan keburukan.

Maqasid syariah atau matlamat syariah bertujuan memelihara kesejahteraan manusia iaitu menjaga agama, jiwa, intelek, keturunan dan harta mereka. Oleh itu, apa yang memelihara serta menjamin kepentingan awam dianggap maslahah (maqasid syariah).

“Fatwa perlu melihat sesuatu isu itu secara keseluruhan kerana matlamat utamanya adalah menjaga kemaslahatan ummah. Oleh itu banyak faktor perlu diberi perhatian, bukan sekadar melihat daripada pendekatan formal atau rupa bentuk.

“Maqasid syariah yang melihat kepada objektif hendak dicapai iaitu menjaga kepentingan umum boleh dijadikan alternatif membantu menghasilkan hukum khususnya membabitkan persoalan baru dalam kehidupan yang bergerak pantas hari ini,” katanya.
Berdasarkan amalan semasa, beliau berpandangan fatwa tidak sepatutnya diberikan kepada masyarakat tanpa terlebih dulu melalui proses penyelidikan yang serius termasuk mendapatkan pandangan sarjana dalam bidang semasa.

Katanya, pendekatan maqasid akan mendorong pihak mengeluarkan hukum untuk lebih kritikal dalam penilaian mereka serta membuka ruang lebih luas kepada sumber yang bakal menjadi rujukan, bukan sekadar berasaskan kitab fiqh klasik diambil secara tangkap muat saja.

Mahmood Zuhdi membahaskan isu itu dalam pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Ijtihad dan Fatwa Berorientasikan Maqasid: Satu Tinjauan Kritis’ pada Seminar Teori dan Aplikasi Prinsip Maqasid Al-Syariah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.

Walaupun tidak ada rekod jelas bagaimana fatwa di Malaysia dihasilkan, tetapi dipercayai ia dilaksanakan mereka yang berpengetahuan dalam bidang berkenaan. Hanya selepas urusan fatwa diinstitusikan, mufti setiap negeri dilantik menganggotai jawatankuasa pembuat fatwa.

Undang-undang pentadbiran hukum Islam di negeri memperuntukkan mufti boleh bertindak secara proaktif atau berasaskan permintaan mana-mana pihak, bersidang bersama jawatankuasa syariah untuk mengeluarkan fatwa.

Mufti melalui prosedur yang sama juga boleh meminda, mengubah atau membatalkan mana-mana fatwa yang terlebih dulu dikeluarkan mana-mana mufti terlebih dulu. Apabila diwartakan, fatwa itu mengikat semua umat Islam dan Mahkamah Syariah.

Mahmood Zuhdi berkata, mentadbir fatwa melalui undang-undang dapat mengelak sesiapa saja khususnya mereka yang tidak mempunyai bidang kuasa mengeluarkan fatwa dan mencegah berlaku percanggahan dengan fatwa rasmi.

Katanya, langkah itu juga dapat menghalang pihak yang berniat buruk memberi fatwa atau menghasilkan fatwa sesuka hati yang memihak dan memenuhi agenda peribadi mereka.

Bagaimanapun katanya, kesan negatif tetap ada kerana mungkin fatwa yang dihasilkan tidak maju atau kurang tepat bagi mengatasi permasalahan dihadapi masyarakat kerana dalam tradisi pengajian Islam, fatwa berkait rapat dengan ijtihad, penyelidikan hukum bersifat kerja ilmiah dan akademik.

“Fatwa berkenaan isu semasa sukar ditangani kerana ia membabitkan persoalan baru yang ada kala memerlukan banyak disiplin ilmu dan pengkhususan. Fatwa itu tidak boleh dikeluarkan sekadar berpandukan ibarat dalam kitab fiqh yang ada tetapi memerlukan penyelidikan ilmiah yang mendalam.

“Bagi mengatasi masalah ini komposisi pasukan penyelidik fatwa di negeri sekarang perlu diubah suai. Umumnya kumpulan itu terdiri mereka yang fasih membaca kitab fiqh bukan mereka yang mengetahui disiplin ilmu semasa seperti undang-undang, ekonomi dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, adalah baik jika jawatankuasa ini dianggotai sarjana dalam bidang ilmu semasa kerana mereka akan menjadi anggota yang aktif serta sangat bermanfaat dalam proses mengeluarkan fatwa yang mantap dan jitu.

Katanya, pusat pengajian tinggi juga perlu mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan mereka sendiri terdiri daripada sarjana pelbagai bidang bagi memberi pandangan berkala kepada jawatankuasa fatwa dalam soal semasa yang rumit.

Selain memastikan data dihasilkan bersifat semasa, ia juga perlu mengambil kira soal setempat kerana fakta dikeluarkan di tempat lain, tidak semestinya sesuai digunakan di Malaysia disebabkan kelainan persekitaran yang boleh mengubah hukum.

Contohnya, peruntukan hukum harta sepencarian tidak ada di Timur Tengah, tetapi Syeikh Daud al-Fatani yang arif peranan wanita Melayu yang melakukan kerja bersama suami menyara keluarga merujuk situasi ini dalam fatwanya mengenai harta sepencarian berasaskan objektif memberi keadilan kepada wanita.

“Unsur tempatan perlu diambil kira untuk memastikan kelangsungan ummah terjaga. Jika tidak, kita ibarat kuda membawa kapas yang ikut masuk ke sungai selepas melihat kuda membawa garam berjaya meringankan beban selepas masuk sungai,” katanya.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: