Wednesday, 28 March 2012

Teknik Pancing Kerapu


.
hari cerita pasal kaki pacing,lagi-lagi pemancing yang suka cari ikan kerapu,ikan kerapu ini kalau dimasak memang sedap,isinya lembut, kalau dapat yang segar lagilah.. kerapu oh kerapu,pemancing tengah memburu kamu kerapu...
Kerapu merupakan satu spesis ikan yang paling digemari dan sentiasa menjadi buruan para pemancing. Ia dianggap sebagai satu simbol kejayaan bukan kerana aksinya semata-mata tetapi kerana isinya yang sedap, sangat susah didapati dan amat bernilai tinggi di pasaran.

Habitat dan Sifat pemakanan:

Ikan yang sering dijumpai di kawasan laut yang berstruktur ini susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Jika kita berjaya menjerat sekumpulan kerapu, ini bermakna lubuk itu masih dara atau telah lama tidak dikacau oleh nelayan atau pemancing.Pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas, ‘berat perut’ dan bergerak lemah longlai itu menghabiskan banyak masa bersembunyi di kawasan berstruktur seperti kapal karam atau karang.

Ia gemar menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Oleh itu, pemancing yang berjaya menewaskannya dalam saiz besar dianggap telah berjaya memperolehi salah satu lesen memancing yang amat dibanggakan.Dari segi sifat pemakanannya, kerapu bolehlah dikatakan spesis ikan yang paling tidak cerewet. Semua jenis umpan yang sesuai dengan seleranya akan diterkamnya tanpa banyak memilih. Kerapu biasanya aktif memburu mangsa pada waktu malam. Tetapi adakalanya pada waktu siang hari, khususnya awal pagi dan lewat petang, turut menjadi waktu yang paling sesuai untuk menjeratnya.

Dari segi bentuk badan dan sifat pemakanannya, kerapu telah diciptakan sebagai spesis pemangsa yang suka menyerang secara rakus, kasar dan mengejut. Ia mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat, tetapi ketahanan sewaktu menentang joran tidaklah berpanjangan sebelum ia lemah terkulai dan tewas.
.

Oleh itu, untuk memancing kerapu dengan efektif, para pemancing haruslah menggunakan peralatan yang benar-benar sesuai, iaitu terdiri dari jenis yang kuat dan kasar. Kejayaan menewaskan kerapu daripada meluru masuk ke kawasan yang berstruktur dari peringkat awal ‘peperangan’ adalah penentu kepada kejayaan muktamad menewaskan spesis tersebut. Justeru itu, para pemancing disarankan agar menyediakan kekili dan joran yang berkekuatan berat yang dijamin dapat menahan asakan awal yang kasar dari kerapu. Persediaan-persediaan alat perang lain seperti tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.
Pemilihan umpan:

Pemilihan umpan juga penting kerana walaupun kerapu tidak begitu memilih umpan, tetapi kebiasaannya ia gemar menerkam umpan yang agak besar. Umpan yang popular untuk menjerat kerapu ialah pelbagai jenis ikan apollo seperti selayang, selar dan kembong, tetapi yang cukup berkesan ialah umpan seekor tongkol segar. Umpan seekor tongkol mahupun potongan tongkol yang bersaiz besar sering menjadi sandaran kami untuk menaikkan spesis kerapu-kertang di perairan Pulau Pinang dan Kedah. Selain tongkol, kurita hidup juga menjadi umpan istimewa kerapu. Namun kerana saiznya agak kecil, ia sering dikacau terlebih dahulu oleh pemangsa lain khususnya jenahak dan ini boleh menganggu konsentrasi kita jika rancangan utama kita ialah menjerat sang kerapu.

Penggunaan umpan yang agak besar dicadangkan bagi menjerat kertang yang bersaiz monster. Lagi besar umpan lagi baik dan lebih efektif menjerat kerapu. Ini sesuai dengan sifatnya yang agak gelojoh dan tamak dan lebih berminat kepada mangsa yang lebih besar. Pengalaman menarik diperolehi semasa kami memancing kertang di sebuah lubuk dikenali sebagai Karang 06, Kedah. Seekor kerapu monster telah membaham seekor jenahak bersaiz 1-1.5 kg yang sedang meragut umpan, tetapi terlepas daripada mata kail kerana saiz mata kail tersebut yang terlalu kecil (no. 2) tidak dapat mengikat kemas mulut kerapu yang keras dan besar itu.

Walau bagaimanapun, kerapu itu tidak serik untuk menerkam umpan lain yang dihulurkan. Kali ini umpan yang disentuhnya ialah seekor kurita hidup yang diletakkan di hadapan bot. Umpan-umpan yang lebih kecil tidak menerima sebarang ragutan walaupun lebih hampir dengan lubuk kerapu yang meragut seekor jenahak itu. Ini menunjukkan kerapu lebih berminat kepada umpan bersaiz besar, dan jika tiada pilihan umpan paling besar diturunkan itulah yang akan menerima ragutannya. Barangkali umpan yang kecil dilihatnya seperti seekor kutu sahaja.


Cara melawan kerapu:

Cara melawan kerapu yang betul adalah satu syarat terpenting untuk mengelakkannya dari masuk ke sarang dan menyebabkan kita menggigit jari. Taktik yang paling asas ialah kita jangan memberikan sebarang peluang kepada si kerapu untuk menarik tali keluar dari kekili dan memalingkan kepalanya ke bawah. Ini kerana jika ia berjaya berbuat demikian, ia akan menuju terus ke struktur berkarang dan pasti berjaya membelit atau memutuskan tali.Sebaiknya kita harus mengekangnya sepantas dan sekuat yang boleh dan memaksanya bertahan agak lama sambil mencuba untuk menariknya menuju ke permukaan air. Cara ini agak kasar dan begitu memenatkan, tetapi berbaloi kerana kerapu hanya melawan seketika waktu sahaja. Jika kepalanya berjaya dihala ke atas dan ia sudah ditarik ke pertengahan air, tidak akan wujud sebarang masalah untuk menewaskannya kerana ketika itu ia sudah lemah dan tidak berdaya untuk melawan lagi.

selamat mencuba...

Petikan Dari Majalah Pancing
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: